Lebih 200 anggota APM bantu LIMA '19 - Utusan Malaysia

Lebih 200 anggota APM bantu LIMA ’19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 17 Feb. – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menempatkan lebih 200 anggota sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19), bermula 26 hingga 30 Mac ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail, berkata anggota dari Langkawi dan dari bahagian lain di Kedah akan membantu tugasan keselamatan dan kecemasan sepanjang berlangsungnya acara edisi ke-15 itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil peluang sempena acara bertaraf antarabangsa itu untuk memperkenalkan peranan badan beruniform itu kepada masyarakat.

“Kami akan memohon ruang untuk mempamerkan aset darat dan air milik APM pada LIMA ’19 kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Langkawi di Kompleks APM, di sini hari ini.

PPAD Kuching, Sarawak, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus mengantikan Leftenan (PA) Nalzatul Ashikin Nordin sebagai PPAD Langkawi yang baharu.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, merangkap Anggota DUN Ayer Hangat, Kolonel Kehormat (PA) Juhari Bulat dan Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Ag Askandar Ampuan Yaacub.

Sementara itu mengulas mengenai kompleks baharu APM itu, Norhafifi berkata, ia mempunyai kemudahan untuk anggota seperti tempat latihan memanjat tembok tiruan, menara menyelamat pantai, Bilik MERS 999, Dewan Theaterate, asrama serta beberapa kemudahan lain.

“Kita yakin dengan adanya kemudahan ini, anggota akan memainkan peranan lebih aktif untuk menangani keadaan kecemasan dengan lebih baik,” katanya sambil menambah APM Langkawi mempunyai hampir 150 anggota berdaftar.

Menurutnya, Kompleks APM Langkawi dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, pada 24 Feb ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN