‘Lawatan tiada kaitan PRK’ - Utusan Malaysia

‘Lawatan tiada kaitan PRK’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Menteri Dalam Ne­geri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatan kerja yang dilakukannya di Semenyih tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang akan diadakan pada 2 Mac depan.

Sebaliknya, katanya, lawatan itu sekadar sebahagian daripada tugas seorang menteri dan beliau tidak fikir apa yang dilakukan melanggar etika ke­rana menjalankan tugas melawat dan berbincang.

“Semua ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya (PRK),” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Bata­lion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau akan terus melakukan lawatan kerja di seluruh negara untuk menjelaskan dasar kerajaan baharu.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegur sikap para pe­mimpin Pakatan Harapan terutamanya menteri dan timbalan menteri supaya meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan tidak lagi boleh ‘mengumpan’ pengundi malah perkara tersebut telah dibuktikan sewaktu PRK Parlimen Cameron Highlands dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyifatkan perkara tersebut sebagai satu kebetulan sahaja.

Kata Rina, bagi kementeriannya, program memberi bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Semenyih sebenarnya telah dirancang sejak sekian lama.

Tambahnya, beliau ambil maklum tentang teguran tersebut namun program menjaga rumah PPRT diadakan dari tahun lepas lagi.

“Tidak adil program bantuan dihentikan hanya disebabkan PRK, program kementerian telah dirangka awal dan peruntukan baru diperoleh jadi, kita teruskan untuk fokus bantu rakyat.

“Jika kita ada agenda politik, kita akan fokus bantuan kepada pe­ngundi saja, sebaliknya saluran bantuan hari ini kepada mereka yang buat permohonan awal sebelum diluluskan. Kita melihat ia sepatutnya tidak menghalang pihak kementerian untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Bazar Mara Semenyih dekat sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN