Larangan straw berkuat kuasa 2020 - Utusan Malaysia

Larangan straw berkuat kuasa 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Larangan penggunaan penyedut minuman atau straw plastik di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak akan dikuatkuasa pada tahun ini sebaliknya ia hanyalah kempen kesedaran sebelum berkuat kuasa pada 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penguatkuasaan larangan itu tidak ditujukan kepada orang awam sebaliknya kepada golongan peniaga dan pengusaha kedai makanan berlesen di kawasan tersebut.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengenalan straw alternatif se­perti straw besi dan kertas dapat diperkenalkan secepat mungkin untuk kegunaan umum.

“Kami akan pastikan ada straw alternatif diperkenalkan di pasaran misalnya straw besi yang digunakan oleh generasi muda ketika ini.

“Kami juga akan memper­kenalkan straw kertas. Bagi sesetengah restoran yang mungkin terbeban untuk membeli straw besi, kami cadangkan supaya mereka menggunakan straw kertas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kempen Anti Litter – Give Your Litter A Lift Home di Stesen Petronas Solaris Putra, Sungai Besi di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), Datuk Mohd. Zain Hassan.

Kempen anjuran Alam Flora dengan kerjasama kementerian berkenaan antara lain bertujuan menerapkan nilai murni dalam kalangan orang awam khususnya pengguna jalan raya terhadap pengurusan sampah yang wajar bermula dari dalam kenderaan mereka.

Bagaimanapun menurut Kha­lid, beliau tidak menolak kesukaran pelaksanaan larangan penggunaan straw plastik di seluruh negara kerana kesedaran mengenainya masih kurang terutama di kawasan luar bandar.

“Kami tidak percaya kita boleh menghapuskan sepenuhnya penggunaan straw plastik kerana masih ada pengguna dan peniaga yang memerlukannya.

“Tapi menjelang akhir tahun ini kami harap dapat mengurangkan jumlah penggunaannya di kebanyakan restoran di bandar termasuk restoran mamak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN