JAKARTA 27 Feb. – Calon Naib Presiden (Cawapres) nombor satu, Ma’ruf Amin berang dengan kewujudan pelbagai kempen haram yang menyebarkan berita palsu berkaitan Joko Widodo (Jokowi) yang mempertahankan jawatan Presiden dan dirinya sendiri.
Ma’ruf merujuk kepada kejadian di Karawang, Jawa Barat, apabila tiga orang wanita bertindak menyebarkan berita palsu berkaitan Jokowi tidak lagi membenarkan seruan Azan kedengaran sekiranya beliau menang pada pilihan raya Presiden (Pilpres) kelak.
“Saya ini kiai tukang azan, bagaimana tidak boleh ada azan. Itu bohong, itu fitnah,” kata Ma’ruf dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam seperti dipetik oleh agensi berita Tempo.
Menurut Ma’ruf, kempen seperti itu tidak sihat dan akan merosakkan demokrasi serta menjejaskan keharmonian.
Kempen haram seperti ini menjadi perhatian selepas sebuah video tular dalam media sosial.
Video berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @citrawida5.
Dalam video terbabit, seorang wanita yang bercakap bahasa Sunda, menasihati seorang warga emas agar tidak mengundi Jokowi.
Tidak lama selepas itu, polis menahan tiga wanita di Karawang yang disyaki terlibat dalam kempen haram itu.











