SHAH ALAM 12 Feb.- Saksi ketiga bagi prosiding inkues bagi menentukan status kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim petang ini mendedahkan anggota bomba itu ditarik dan dipukul sekumpulan perusuh semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Ahmad Shahril Othman, 36, berkata, dia berasakan perkara itu yang terjadi pada Muhammad Adib kerana berdasarkan keadaan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki mereka dan jentera Fire Rescue Team (FRT) mengalami rosak dalam kejadian itu.
“Perilaku perusuh berkemungkinan terjadi susulan mereka turut cuba membuka pintu EMRS yang dipandunya dengan tujuan untuk menyerang dan mencederakannya.
“Saya beranggapan jika pintu cuba diceroboh oleh perusuh yang membuka pintu, mereka bertujuan memukul dan mencederakan saya,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah berhubung laporan polis yang dibuat penyelianya, Badrul.
Terdahulu, Ahmad Shahril membacakan semula laporan polis yang dibuat oleh penyelianya berhubung kejadian menimpa dirinya dan Muhammad Adib pada malam kekecohan di kuil tersebut.-UTUSAN ONLINE










