KUANTAN 3 Feb. – Parti Amanah Negara (Amanah) negeri berpendapat bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) sebaik-baiknya dilantik dalam kalangan parti yang diputuskan menerajui negeri terbabit.
Pengerusi Amanah negeri, Dr. Hamzah Jaafar berkata, Pengerusi MTEN dari negeri yang sama perlu kerana individu itu lebih mengetahui masalah sama ada daripada sudut keperluan pembangunan dan infrastruktur.
“Hak untuk melantik adalah hak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Namun pelantikan sebagai Pengerusi MTEN bagi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebaik-baiknya daripada kalangan parti yang diputuskan sebelum ini menerajui negeri itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang turut senada dengan Hamzah berkata, Pengerusi MTEN sewajarnya dilantik dalam kalangan wakil-wakil rakyat yang dipilih di negeri tersebut.
Menurutnya, jawatan kuasa kemudian boleh dibentuk untuk melibatkan kepimpinan Pakatan Harapan dengan Menteri atau Timbalan Menteri, dilantik sebagai penasihatnya.
“Pelantikan jawatan Pengerusi MTEN sebaik-baiknya dibincang di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan dengan mempertimbangkan pelbagai dinamik politik di negeri tersebut.
“Jika dilihat kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada negeri-negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pas, namun Perdana Menteri membuat keputusan melantik wakil-wakil daripada negeri-negeri ke dalam Kabinet, kecuali Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Unit Sekretariat, Bahagian Pemantauan & Penilaian, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkuatkuasa 1 Januari lalu.










