Lans Koperal didakwa salah guna kad minyak PDRM bernilai lebih RM90,000 - Utusan Malaysia

Lans Koperal didakwa salah guna kad minyak PDRM bernilai lebih RM90,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan kad minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM90,422.90 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Baderyshah Matasum, 34, membuat pengakuan itu sebaik sehaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin. 

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan curang telah menyalahgunakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM, kad Smart Pay bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422. 90. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di stesen minyak Petronas Kelemak di dalam daerah Alor Gajah antara 1 Mac sehingga 30 September 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan diberikan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri, yang juga merupakan seorang anggota polis dan lima orang anak, selain gajinya telah digantung sepanjang siasatan dalaman dijalankan pihak PDRM.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50, 000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya untuk melaporkan diri di pejabat SPRM sehingga kes selesai. 

Mohd. Nasir kemudian menetapkan tarikh 20 Mac depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN