PADA awal bulan ini dilancarkan Majlis Suara Melayu Johor (Suara) di ibu negeri dan tujuan penubuhannya adalah membawa suara rakyat di peringkat bawahan kepada pihak yang berkenaan.
Suara merupakan satu cabang baharu hasil daripada himpunan kesemua 12 biro di bawah Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) yang mempunyai kaitan dengan kepentingan awam merangkumi semua aspek dan peringkat.
Antaranya Biro Hal Ehwal Pentadbiran, Kedaulatan, raja-raja Melayu, Agama, Perancangan, Pemikir dan Strategik; Biro Hal Ehwal dan Perkembangan Politik serta Biro Hal Ehwal Pembangunan Luar Bandar, Felda, Felcra dan Pekebun Kecil.
Menurut Pengerusi Suara, A. Rahman Mahadi, agenda utama Suara adalah menyalurkan suara masyarakat bawahan agar benar-benar dapat didengari dan sampai kepada pihak yang berwajib.
“Ini kerana ketua kampung, penghulu, ahli-ahli pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil-wakil rakyat pasti sukar untuk menangani isu-isu di kawasan setempat,” katanya ketika temui di sini.
A. Rahman berkata, pihak Suara akan bekerjasama dengan semua ketua kampung, penghulu, wakil-wakil kerajaan tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen termasuk menteri-menteri.
Tambahnya, kerjasama itu diharapkan membuahkan hasil dalam memastikan masyarakat yang tercicir atau terlepas pandang daripada mendapat bantuan dan pembelaan sepertimana agenda Suara.
“Terutama dapat mengenal pasti anak-anak Melayu yang tergendala persekolahannya kerana masalah sara hidup, kemiskinan, masalah keluarga sama ada di bandar atau kampung-kampung.
“Ini termasuk kediaman yang sangat daif, masalah tiada bekalan elektrik dan bekalan air bersih, masalah dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pencerobohan tanah kerajaan di kawasan pedalaman berhubung kait dengan pejabat tanah dan agensi kerajaan lain,” katanya.
Begitu juga, katanya, kerenah birokrasi dengan semua jabatan kerajaan, peniaga-peniaga bukan warganegara di mana-mana pelosok bandar dan kampung serta gerai-gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) harus ditangani lebih-lebih lagi dalam suasana Malaysia Baharu.
“Semua ini antara masalah setempat yang wajar ditangani dan kita tidak mahu Suara menjadi seperti Majlis penyelaras Gabungan NGO Melayu Johor (Gabung) yang dilihat tidak berfungsi mempertahankan Melayu, Islam dan bumi Johor daripada diratah pihak asing,” tambahnya.










