KXP AirportCity urus pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim - Utusan Malaysia

KXP AirportCity urus pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah mengumumkan penubuhan sebuah anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) iaitu KXP AirportCity Holding Sdn. Bhd. (KXP AirportCity) untuk merancang, menyelaras dan menguruskan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, syarikat yang menjadi agensi tunggal mewakili kerajaan negeri berkaitan KXP itu akan memulakan operasinya secara rasmi pada 4 Mac depan.

“Syarikat ini akan menjalankan setiap rundingan dengan kementerian, jabatan dan agensi-agensi pusat bagi mendapatkan semua kelulusan berkaitan projek KXP.

“Selain itu, KXP AirportCity juga akan menganalisa dan menilai cadangan-cadangan yang diterima serta mendapatkan perakuan ahli lembaga pengarahnya dan pihak berkuasa tempatan
untuk kelulusan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Katanya, komposisi ahli lembaga pengarah yang akan mengawasi hala tuju dan operasi KXP AirportCity ialah beliau sendiri selaku Pengerusi serta tiga ahli lembaga pengarah iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Ir. Jamilus Hussein dan Ketua Eksekutif PKNK, Abdul Rahman Abdullah.

“Kepimpinan KXP AirportCity pula akan diterajui oleh bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat,” ujarnya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai atau membantu pelaksanaan projek mega tersebut, mereka boleh menghubungi atau menyerahkan cadangan kepada syarikat berkenaan di Wisma PKNK, Jalan Sultan Badlishah di sini.

Ketika ditanya tentang tarikh projek KXP akan bermula, menurut Mukhriz, pihaknya masih memerlukan masa untuk melakukan kajian yang lebih terperinci termasuk mengenal pasti komponen yang perlu dipecahkan mengikut fasa pembangunan.

“Kita merancang untuk membangunkan sebuah lebuh raya baharu sebagai akses kepada KXP yang kemungkinan akan menyambungkan Bandar Baharu ke Sungai Petani dengan melepasi kawasan Sidam Kiri yang mana terletaknya KXP ini.

“Malah, jika kerajaan negeri Perak bersetuju, kita boleh bincang jika permulaan lebuh raya itu dibina di Changkat Jering atau mana-mana lokasi yang dirasakan sesuai,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN