KTM optimis kemampuan jentera - Utusan Malaysia

KTM optimis kemampuan jentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro memuji peningkatan jentera RC 16 yang dilihat semakin menunjukkan hasil yang positif terutama aspek kepantasan berbanding musim lalu.

KTM yang kini memasuki tahun ketiga dalam saingan MotoGP telah merombak senarai pelumba utamanya dengan membawa masuk Johann Zarco untuk menggantikan tempat Bradley Smith.

Selain itu, KTM juga mempunyai pasukan satelit iaitu Tech 3 yang diperkuat Hafizh Syahrin dan Miguel Oliveira.

KTM telah mengeluarkan modal yang besar dengan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membina sebuah jentera berdaya saing.

“Pada sesi ujian di Sepang ming­gu lalu, saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih kerana kami menunjukkan pe­ningkatan terbaik dari segi kepantasan jentera. Jika ingin dibandingkan de­ngan catatan musim lalu ia sedikit perlahan.

“Bagi saya ia adalah kemajuan yang menakjubkan ditampilkan KTM. Bagaimanapun, pasukan perlu bekerja keras kerana terdapat sedikit kelemahan terutama pada suspensi belakang yang perlu dipertingkatkan pada tahap yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Zarco mengakui terdapat peningkatan pada jentera, namun belum memadai untuk memberi tentangan menjelang perlumbaan pembuka tirai di Qatar pada Mac depan.

“Saya akui terdapat peningkatan tetapi kami tidak memperoleh perubahan besar secara menyeluruh dan pasukan perlu be­kerja lebih keras sekiranya ingin mendapatkan hasil yang positif,” ujarnya.

Zarco menduduki tangga ke-17 kese­luruhan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Espargaro tempat ke-18. Dua pelumba satelit KTM Tech 3, Miguel Oli­veira tempat ke-19 sementara Hafizh (21). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN