KUALA LUMPUR 3 Feb. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilihat cuba menaikan kemarahan rakyat selepas memberitahu kos pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) ditanggung PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Sedangkan semua tahu PLUS 51 peratus milik kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan 49 peratus lagi dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2011 membuat pengambilan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan ini bermakna segala kos pemasangan AWAS adalah di bawah tanggungan kerajaan.
“Inikah yang menyebabkan rakyat tidak berpuas hati. Paling utama Pakatan Harapan (PH) tidak jujur dan menipu serta tidak menepati janjinya kepada rakyat.
“Malangnya pendirian pimpinan PH berubah apabila menjadi kerajaan. Kenapa bila Kerajaan PH memerintah mereka tidak menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagaimana dijanjikan?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkatan BN tahu kepentingan AES kerana baik dalam usaha mendisplinkan pengguna lebuhraya terutamanya dalam mengurangkan kemalangan.
Ujarnya, namun pada ketika itu, pimpinan PH menuduh BN menzalimi rakyat dan mereka berjanji dan berkata akan mansuhkan AES jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Malah sebelum menang, menuduh Kerajaan BN telah terlebih bayar 10 kali ganda kerana membeli kamera dengan harga RM170,000. Kononnya menuduh Kerajaan BN membazir duit rakyat dan sebagainya.
“Sebaliknya AES diteruskan malah dijenamakan semula menjadi Awas. Lebih hebat kamera ditambah dan tiada lagi setakat ini diskaun saman diberikan sebagaimana Kerajaan BN dahulu. Lebih memeranjatkan kos kamera yang dibeli lebih mahal berbanding dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










