RANTAU PANJANG 19 Feb. – Seni suara kokokan ayam hutan hibrid menjadi ‘kegilaan’ baharu kepada peminatnya sekali gus mempelbagaikan lagi hiburan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Kegilaan terhadap seni suara itu dapat dilihat dalam Pertandingan Kokokan Ayam Hutan Hibrid Terbuka Rantau Panjang di Kampung Parit Air, Pintu 2 Kastam di sini, apabila pemilik tidak putus-putus berteriak supaya ayam peliharaan mereka mengeluarkan suara walaupun menawarkan hadiah hanya ‘toto’, gelas dan mangkuk.
Pada pertandingan itu, ayam hutan hibrid milik Abdullah Ali Yusoff, 62, dinobatkan sebagai juara menewaskan 59 ekor ayam lain.
Ayam milik Abdullah Ali yang dinamakan sebagai Hijau mempamerkan kokokan bergaya sebanyak 41 kali sepanjang tempoh 15 minit sekali gus menjadi juara.
“Saya terkejut Hijau boleh menang kerana ini kali pertama masuk bertanding.
“Namun rezeki berpihak kepada kami dan saya gembira dengan kejayaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, penganjur pertandingan, Mahadi Ismail mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat ayam berkenaan.
Katanya, walaupun kali pertama dianjurkan, ia berjaya menarik 60 peserta untuk menyertai pertandingan tersebut dengan yuran penyertaan RM10 setiap seekor ayam.
Menurutnya, sambutan luar biasa itu menyemarakkan lagi semangat untuk meneruskan penganjuran pada masa akan datang.
“Pertandingan seni suara ayam hutan hibrid berbeza kerana dinilai berpandukan kepada jumlah kokokan yang dilontarkan.
“Lebih banyak kokokan yang dilontarkan, maka ayam tersebut dinobatkan sebagai juara.
“Itulah uniknya pertandingan ayam hutan hibrid ini bertanding seni suara burung ketitir, terkukur, candik dan merbah jambul yang dinilai pada air suara,” katanya.











