SHAH ALAM – Koperasi Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) mengambil inisiatif bagi membantu usahawan dengan menawarkan pakej penuh trak makanan atau ‘food truck’ pada harga serendah RM26,500.
Pengurusnya, Mohammad Syukri Ismail berkata, penawaran harga itu meliputi insuran, cukai jalan, permit kenderaan serta peralatan perniagaan seperti meja operasi, tangki air bersih, sinki dan pelbagai aksesori lain.
Katanya, harga bagi pakej penuh di pasaran sedia ada untuk trak makanan itu boleh mencecah sehingga RM80,000.
“Kita menawarkan harga kepada pengusaha trak makanan serendah RM26,500 hingga RM50,000 seunit.
“Harga yang kita tawarkan ini adalah antara paling murah di pasaran dengan menyediakan beberapa cara pembiayaan kepada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang ini,” katanya pada sidang akhbar pada majlis penyerahan trak makanan kepada usahawan di Wisma Kohijrah di Seksyen 32, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai lima usahawan sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Kuala Langat menerima trak makanan masing-masing.
Menurut beliau, pembiayaan tersebut dilakukan dengan tabung Yayasan Hijrah Selangor bagi usahawan di Selangor manakala usahawan di luar negeri ini akan dilakukan menerusi bank-bank terpilih.
Ujarnya, antara syarat yang dikenakan bagi mendapatkan trak makanan itu adalah mempunyai sijil pendaftaran perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain penyata bank selama tiga bulan bagi usahawan negeri ini dan enam bulan bagi usahawa di luar Selangor.
“Bagi pembayaran balik pula, tempoh pembiayaan adalah antara enam bulan hingga lima tahun bergantung kepada jenis pinjaman yang dimohon.
“Sehingga kini, kita sudah menyerahkan 30 unit trak makanan kepada ushawan-usahawan di negeri Selangor,” jelasnya. – K! ONLINE










