Kitar semula isu lapuk untuk lemahkan Pas - Utusan Malaysia

Kitar semula isu lapuk untuk lemahkan Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 9 Feb. – Dakwaan pemberian wang sebanyak RM90 juta oleh UMNO kepada pemimpin Pas sengaja dikitar semula dan dicanang Pakatan Harapan (PH) kerana mahu melemahkan perjuangan Pas.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PH menganggap Pas sebagai pesaing utama dalam arena politik negara sehingga terdesak mengitar semula isu lapuk tanpa bukti yang kukuh.

Katanya, Pas akan terus mendokong dan menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat kes ini yang sekali gus membersihkan nama parti dan kepimpinan berkaitan kes rasuah.

“Kehadiran saya memberi keterangan di SPRM Kelantan, semalam membuka ruang untuk membuktikan isu berkenaan adalah fitnah.

NIK MUHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ (dua kiri) ketika merasmikan program Baby Box & Food Basket di Bach

NIK MUHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ (dua kiri) ketika merasmikan program Baby Box & Food Basket di Bachok, Kelantan, hari ini.

“Pas adalah sebuah parti yang sentiasa mendokong usaha membanteras rasuah. SPRM telah menjalankan amanah tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Penyampaian Baby Box dan Bakul Maka Kepada Asnaf dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) di Dewan Majlis Daerah Bachok, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden pertubuhan Papisma, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff. 

Nik Mohamad Abduh berkata, sebagai sebuah parti Islam, Pas adalah rakan akrab SPRM dalam membanteras gejala rasuah di negara ini. 

“Apa nak dikhuatirkan kalau kita takut dan taat kepada Allah sekali pun munculnya fitnah dan perlu menghadapi prosedur siasatan SPRM. 

“SPRM adalah sebuah badan yang berintegriti yang sebelum ini dipandang serong sesetengah pihak kerana kerajaan semasa dikatakan banyak mempengaruhi badan ini dan hakikat sebenarnya tidak,” katanya. 

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu berkata, jalinan kerjasama dan pemuafakatan di antara Pas dan UMNO dalam kontek menghadapi situasi kerajaan semasa turut dicemburui oleh PH. 

Kerjasama sedemikian, katanya, mungkin membangkitkan pelbagai isu dan fitnah yang sengaja dicipta dalam usaha melumpuhkan kerjasama Pas dan UMNO. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN