Kisah budak merempat kini juara dunia - Utusan Malaysia

Kisah budak merempat kini juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBU BAPANYA adalah pasangan penagih kokain tegar yang menyebabkan Gervonta Davis terpaksa berpindah dari satu rumah kebajikan ke rumah kebajikan lain di awal usianya.

Begitupun, bakat besar yang dimiliki petinju berasal dari Baltimore, Amerika Syarikat ini telah mengubah nasibnya daripada seorang budak terbiar dan merempat menjadi antara juara dunia termuda dan terkaya ketika ini.

Dengan rekod 21-0 tanpa kalah pada usia baru mencapai 24 tahun, Davis sudah mampu memiliki dua gelaran juara dunia kategori super-featherweight di bawah Persatuan Tinju Dunia (WBA) pada 2018 dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada 2017.

Dalam kata lain, Davis adalah bukti jika seseorang bijak memanfaatkan bakat yang dianugerahkan tuhan sebaik mungkin tanpa memperdulikan latar belakang serta sejarah silam yang penuh kegelapan, manusia boleh berjaya.

Kisah hitam anak muda ini yang sudah yatim piatu seawal usia enam tahun bersama seorang lagi adik selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia akibat dadah kokain meruntun jiwa banyak pihak yang mengagumi perjalanan hidupnya.

Ada yang menganggap ia satu keajaiban apabila Davis masih hidup di waktu kecilnya di sebalik makan minum yang tidak menentu, tempat tinggal yang tidak terurus serta persekitaran hidupnya yang dikelilingi kes jenayah tinggi, penagih dan sindiket dadah.

Begitupun, tuah manusia tiada siapa yang tahu apabila pada usia lima tahun, seorang pemilik gim, Calvin Ford yang kemudiannya menjadi jurulatihnya telah mengambil Davis daripada kelompok kanak-kanak miskin untuk dilatih sebagai petinju.

Pada yang mengikuti siri popular televisyen The Wire, watak Dennis ‘Cutty’ Wise adalah mengambil sempena kisah benar dan inspirasi dari Ford yang berjaya menyelamatkan ramai kanak-kanak terbiar untuk menjadi petinju.

Davis adalah salah seorang yang berjaya diselamatkan sebelum menunjukkan peningkatan yang cepat dalam latihan dan karier amaturnya. Pada usia 12 tahun, dia sudah mula menjuarai beberapa kejohanan amatur sehingga mencapai 18 tahun dengan rekod 206-15.

Selepas itu, Davis mengambil keputusan menjadi petinju profesional di bawah promoter dan mentornya, Floyd Mayweather Jr. malah tidak menunggu lama untuk mencatat 13 kemenangan berturut-turut, semuanya dengan menumbangkan lawannya di bawah enam pusingan sahaja.

Ketika muncul juara dunia IBF pada 2017, ia adalah perlawanan ke-17 dalam karier profesionalnya dan selepas itu Davis tidak lagi menoleh ke belakang untuk mencatat kemenangan demi kemenangan tanpa kalah satu perlawanan sekali pun.

Minggu lalu sebelum anak buahnya itu menentang Hugo Ruiz untuk mempertahankan kejuaraan super-featherweight WBA, Mayweather telah menulis kata-kata semangat bahawa dia amat mengagumi anak muda bernama Gervonta Davis.

“Dia menewaskan semua lawan yang diberikan kepadanya untuk muncul dua kali juara dunia hanya selepas 20 perlawanan sahaja tanpa mempunyai pengalaman amatur yang secukupnya.

“Rekod anda sudah membuktikan segala-galanya, 20 kemenangan dengan 19 KO. Apabila menjadi seorang petinju, matlamat anda ialah membuat wang, menang tali pinggang dan menewaskan sesiapa sahaja,” tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN