PUCHONG 11 Feb. – Kewujudan ‘kilang haram’ yang beroperasi di kawasan perumahan Taman Kandan Lama di sini didakwa semakin berleluasa sehingga menganggu ketenteraman penduduk sejak lebih dua tahun lalu.
Bukan sahaja beroperasi sehingga lewat malam, premis rumah yang diubah menjadi premis komersial itu turut mencacatkan pemandangan perumahan tersebut.
Dianggarkan lebih daripada 40 buah rumah kini ‘bertukar’ menjadi kilang yang kebanyakannya beroperasi sebagai tempat pemprosesan dan penyimpanan besi buruk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, persekitaran berhabuk dan tidak terjaga boleh mendedahkan penduduk dengan pelbagai penyakit seperti batuk, lelah dan penularan wabak denggi.
Penduduk memberitahu, unit-unit rumah berkenaan pada asalnya hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan barang namun lama-kelamaan bertukar menjadi bengkel dan kilang.
Bunyi bising daripada penggunaan mesin dan jentera menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran semakin tertekan.
Kewujudan kilang berkenaan juga menjadi punca kebanjiran pekerja warga asing sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam parti Gerakan Rakyat Malaysia Nasional, Henry Teoh Kien Hong berkata, pihaknya bersama penduduk menggesa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini.
Beliau berkata, sehingga kini kilang-kilang tersebut dibiarkan beroperasi begitu lama tanpa pemantauan dan sanggup mengetepikan tahap kesihatan penduduk.
“Walaupun aduan dan bantahan telah beberapa kali dilakukan penduduk, keadaan masih seperti itu seolah tiada tindakan diambil,” katanya.










