Ketirisan penggunaan buku kerja - Utusan Malaysia

Ketirisan penggunaan buku kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
MINAT
yang tinggi dalam kalangan ibu bapa bumiputera untuk menghantar anak-anak mereka menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mungkin terjejas ekoran beberapa insiden yang mencemarkan reputasi sekolah itu sejak kebelakangan ini.

Dilaporkan jumlah anak-anak Melayu dan bumiputera kini mencecah kira-kira 15 peratus daripada jumlah murid SJKC di seluruh negara. SJKC diyakini mampu menawarkan mutu pembelajaran sains dan matematik yang lebih baik.

Penulis ingin menarik perhatian semua atas satu gejala umum yang lama wujud di SJKC iaitu mereka banyak menggunakan buku kerja pelbagai subjek dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP). Secara relatif, SJKC merupakan sekolah yang paling banyak membeli buku kerja berbanding aliran sekolah lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut siasatan oleh kumpulan aktivis ibu bapa SJKC dalam media sosial, sekolah tersebut terlalu mengutamakan pendekatan pembelajaran yang berlandaskan pengukuhan bertubi-tubi melalui buku kerja. Amalan itu mungkin antara sebab mengapa SJKC memperoleh keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan.

Malangnya, di sebalik amalan dan budaya menggunakan buku kerja secara optimum, ia membuka peluang berlakunya penyelewengan apabila terdapat segelintir guru besar SJKC didakwa cuba mengaut untung daripada penjualan buku kerja pada permulaan dan pertengahan tahun persekolahan kepada ibu bapa. Hasil maklumat yang peroleh kumpulan aktivitis ibu bapa SJKC, amaun pendapatan tidak halal golongan itu sebenarnya bukan sedikit.

Kedai buku SJKC biasanya dikendalikan oleh kontraktor sekolah terutamanya di kawasan bandar, di bilangan muridnya ramai. Dilaporkan sesetengah guru besar menerima sogokan daripada pihak swasta agar kontrak kedai buku sekolah selama dua tahun (satu penggal) diberikan kepada mereka.

Difahamkan mulai 2018, Kementerian Pendidikan bertindak tegas dalam menangani isu penggunaan buku kerja secara berleluasa di sekolah. Mengikut surat pekeliling Kementerian Pendidikan, SJKC cuma dibenarkan memesan sebuah buku kerja setiap subjek untuk lima subjek teras bagi tahap dua. Tahap satu pula tiada buku kerja dibenarkan sama sekali kerana telah pun dibekalkan secara percuma oleh kementerian.

Pemilihan buku kerja seharusnya dibuat oleh jawatankuasa panitia subjek di SJKC secara bebas. Faktor harga, kesesuaian dan mutu buku kerja perlu dijadikan pertimbangan dalam pemilihan buku kerja dan diharapkan guru besar tidak campur tangan dalam sebarang urusan pemilihan tersebut.

Pun begitu, didapati masih ada sebilangan guru besar SJKC yang berani meminta habuan dengan menjanjikan buku penerbit dijadikan pilihan. Sekiranya masih ada pihak yang degil dan berani mengingkari perintah Kementerian Pendidikan dan aku janji kakitangan awam, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa tidak teragak-agak bertindak tegas dan segera.

PEMINAT SJKC

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×