SUBANG JAYA 3 Feb. – Lebih 300,000 penagih ketamin terputus bekalan selepas polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 92.7 kilogram (kg) dadah tersebut dalam dua serbuan berasingan di Subang Jaya dan Sungai Buloh, kelmarin.
Timbalan Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, serbuan antara pukul 7.40 malam dan 8 malam itu dijalankan pasukan JSJN Bukit Aman dengan bantuan JSJN Selangor.

Katanya, dadah yang diisi dalam tiga guni berisi 90 peket teh cina itu bernilai RM5.6 juta dan merupakan rampasan terbesar pada tahun ini.
“Kali terakhir JSJN melakukan rampasan terbesar ketamin adalah pada 19 Oktober 2017 iaitu sebanyak 254kg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Dan kita percaya dadah yang dibawa masuk dari negara jiran ini adalah untuk bekalan lebih 300,000 pengguna di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman.
Mengenai serbuan itu, Zulkifli berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang sedang memandu kereta Nissan Almera berisi tiga guni dadah tersebut di Persiaran Jengka di sini.
“Kesemua dadah ditemukan di tempat duduk belakang kereta berkenaan, manakala di dalam kereta dinaiki dua lagi suspek berusia 49 dan 54 tahun yang ditahan di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh, tiada dadah ditemukan.
“Kita turut merampas tiga kereta, Nissan Almera, Perodua Axia serta Toyota Vios, wang tunai RM8,000 dan seutas jam tangan,” ujarnya.
Tambah Zulkifli, ketiga-tiga suspek direman sehingga Jumaat untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.










