Kertas siasatan Papagomo lengkap, serah DPP hari ini. - Timbalan KPN - Utusan Malaysia

Kertas siasatan Papagomo lengkap, serah DPP hari ini. – Timbalan KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Kertas siasatan berhubung kes melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris dijangka akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas melalui kesemua prosedur ketika berada dalam tahanan reman selama tiga hari.

“Hari ini, siasatan sudah lengkap dan kita bercadang untuk menyerahkannya kepada DPP, jadi sama-samalah kita tunggu keputusan sama ada perlu siasatan lanjut atau teruskan tindakan pendakwaan.

“Saya kira esok kita tahulah,” ujarnya selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Polis Kuala Lumpur di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, di Pulapol di sini sebentar tadi.

Papagomo direman tiga hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan selepas Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa beliau dicekak Exco Pemuda UMNO itu semasa penamaan calon Pilihan Raya Kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan Syed Saddiq, sebaliknya menjelaskan hanya memeluk bahu Menteri Belia dan Sukan itu.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, siasatan telahpun lengkap.

“Keputusan ujian kimia dah diperoleh dan ia sudah diserahkan kepada Peguam Negara, jadi sekarang polis sedang tunggu arahan seterusnya,” ujarnya.

Pada 5 Januari lalu, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan dalam Op Pusat Hiburan selepas positif ganja dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Ampang.

Serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 12.30 malam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN