Kerjasama Osaka, Bajin terlerai - Utusan Malaysia

Kerjasama Osaka, Bajin terlerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO – Jaguh tenis No. 1 dunia, Naomi Osaka membuat keputusan berpisah dengan jurulatihnya, Sascha Bajin selepas 16 hari menjulang kemenangan utama Grand Slam Terbuka Australia bulan lalu.

Pemain Jepun berusia 21 tahun tersebut meraih gelaran Grand Slam selepas berjaya menumbangkan pemain Republik Czech, Petra Kvitova dalam aksi final di Melbourne. Kejayaan itu sekali gus melonjakkan kedudukannya sebagai pemain Asia pertama menyambar status pemain nombor satu dunia.

Namun, Osaka memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bajin selepas sempat bekerjasama dengan bekas pemain Jerman itu untuk tempoh lebih setahun.

“Untuk pengetahuan semua, saya tidak lagi bersama Bajin. Saya ucapkan terima kasih kepadanya atas kerjasama sebelum ini dan saya ucapkan selamat maju jaya dengan kariernya pada masa akan datang,” katanya semalam dalam satu kenyataan.

Osaka mempamerkan peningkatan mendadak dalam ka­riernya selepas berjaya menewaskan Se­rena Williams, Victoria Azarenka dan Caroline Wozniacki.

Sementara itu, Bajin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Osaka meskipun tidak lagi melatih jaguh Jepun tersebut musim ini.

“Terima kasih Naomi dan ia suatu perjalanan yang hebat. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada anda,” ujarnya. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN