KUANTAN 12 Feb. – Penutupan bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) jelas menindas peniaga-peniaga kecil Melayu dan menyerlahkan sikap ketidakadilan kerajaan dalam menangani sesuatu masalah.

Presiden Badan Revolusi Ekonomi dan Sara Hidup Anak Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, jika isu sampah, kesesakan lalu lintas dan isu warga asing yang dibangkitkan, tindakan sama perlu diambil dengan menutup perniagaan kecil di Petaling Street dan Bukit Bintang.
“Di Petaling Street dan Bukit Bintang lebih ramai warga asing yang berniaga serta lebih menyesakkan keadaan.
“Bazar Ramadan Jalan TAR setahun sekali manakala Petaling Street dan Bukit Bintang setiap hari, maka adalah lebih bertepatan jika lebih diberi tumpuan untuk menutup di Petaling Street dan Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata, jangan kerana perniagaan di Jalan TAR melibatkan majoritinya Melayu maka cepat sahaja diambil tindakan.
“Ini merupakan satu bentuk penindasan dan tidak adil, jadi kerajaan perlu adil,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











