RUANGAN ini pada minggu lepas menceritakan kisah Fasihah, seorang kakitangan Lapangan Terbang Changi, Singapura, yang diganggu jelmaan wanita berambut panjang dan berpakaian seragam sama sepertinya.
Wanita itu menangis, dia meminta Fasihah membantu melepaskan dirinya daripada kesakitan. Kisah berakhir dengan Fasihah terjatuh di lantai dan jelmaan wanita berwajah hodoh merangkak merapatinya. Kisah ini bersambung…)
PENGSAN
Syahirah tiba di pejabat pada pukul 8.40 pagi dan melihat meja kerjanya kosong. Anehnya lampu komputer masih lagi bernyala dan sistemnya terpasang atas nama Fasihah, petugas syif sebelumnya.
Syahirah terfikir, ke mana perginya Fasihah? Kalau bersarapan, selalunya tidak lama, Fasihah akan cepat kembali ke pejabat. Dia tidak pernah membiarkan komputer terpasang begitu. Fasihah bukan orang yang suka berlama-lama di luar, dia akan segera pulang ke pejabat. Tapi ke mana dia pagi ini?

Ketika sedang menanti dan mencari Fasihah, Syahirah menerima panggilan telefon daripada penyelianya, Afeef, menyampaikan berita yang mengejutkan – Fasihah dijumpai pengsan di laluan yang sering digunakannya untuk ke Terminal Satu.
“Fasihah demam dan sekarang berehat di ofis saya,” kata Afeef.
Fasihah pengsan? Bergegas Syahirah ke pejabat penyelianya.
“Kan akak dah cakap, kalau boleh jangan gunakan laluan sunyi tu masa syif malam, sekarang tengok apa jadi dengan Fasihah? Nasib baik ada orang jumpa,” leter Syahirah sebaik sahaja Fasihah sedar daripada pengsan. Syahirah sudah menganggap Fasihah seperti adiknya sendiri.
Fasihah hanya termenung dan diam seribu bahasa kerana demam dan kepalanya masih berdenyut. Apa yang berlaku malam semalam masih segar dalam fikirannya. Wajah wanita yang berseragam sama sepertinya. Tangisannya. Rintihannya minta dikasihani.
Siapa wanita itu? Kenapa dia muncul di depannya? Kenapa dia menangis dan merintih kesakitan?
Suaranya terngiang-ngiang pada cuping telinga Fasihah. Apakah wanita itu hanya mahu mengganggu, atau ada rahsia yang belum terungkai? Kenapa dia merayu Fasihah supaya membantunya melepaskan diri daripada kesakitan? Ah, semua itu membuatkan fikiran Fasihah tambah bercelaru dan badan bertambah panas.
Fasihah mahu bercuti. Dia tidak mahu diganggu jelmaan wanita itu lagi
LOKER
Seminggu kemudian: Fasihah bertugas syif malam setelah mendapat cuti sakit selama seminggu. Waktu rehat, ketika sedang mengambil makanannya di dalam bilik loker, dia terdengar sesuatu. Bunyi seperti ada seseorang sedang menyelongkar loker di belakangnya dalam keadaan kelam kabut. Hairan Fasihah, sebab sebentar tadi dia memasuki bilik itu seorang diri dan tiada sesiapa pun di situ.
“Siapa pulak kat belakang aku ni? Setahu aku tadi tak ada orang pun kat bilik loker ni.”
Fasihah menoleh ke belakang dan… jantungnya bagaikan hendak berhenti berdegup apabila melihat wanita berpakaian seragam putih dan seluar biru yang mengganggunya seminggu lalu, sedang menyelongkar loker sambil memakan daging mentah yang masih berdarah!
Wanita itu menoleh ke arah Fasihah dan menyeringai dengan darah yang meleleh di mulutnya. Lutut Fasihah terasa lemah, dia terduduk sambil menyandar longlai di dinding loker di belakangnya.
RENUNG
Pagi berikutnya, seperti biasa, Syahirah datang kerja awal. Hari itu dia sengaja membawa makanan yang lebih supaya boleh bersarapan dengan Fasihah sebelum Fasihah pulang dari syif malam dan dia memulakan tugasnya.
Tiba di meja kerjanya, Syahirah lihat Fasihah sedang duduk sambil memerhatikan komputer seolah-olah khusyuk membuat kerjanya. Namun aneh, Fasihah tidak bergerak walau seinci. Hanya mata dan kepalanya sahaja yang tertumpu pada komputer, tetapi tubuhnya kaku. Apa yang dia khayalkan? Hairan Syahirah melihat keadaan Fasihah pagi itu.
“Assalamualaikum, Fasihah… jauh termenung? Macam mana kerja? Okey ke?” Namun pertanyaannya hanya dibalas dengan anggukan perlahan oleh Fasihah. Syahirah kehairanan.
Kenapa dengan budak Fasihah ni? Masih sakit lagi ke? Tak pernah dia buat perangai macam ni. Pelik, selalunya Fasihah yang paling periang dan suka berbual, Syahirah berkata di dalam hati.
“Kenapa termemung ni? Fasihah ada masalah ke? Akak ada bawakan sarapan ni. Jom sarapan sama-sama. Masa sarapan, bolehlah Fasihah kongsi masalah dengan akak…” Syahirah cuba memujuk, namun Fasihah hanya membatukan diri
“Fasihah…” Syahirah memanggil Fasihah sambil membaca ayat-ayat Al-Quran yang diingatinya. Dia memegang bahu Fasihah dengan tujuan untuk memujuk dan bertanyakan apa masalah yang dihadapi sehingga sahabatnya itu tidak mahu memandang dan menjawab segala pertanyaannya.
Tangan Syahirah tiba-tiba ditepis dan Fasihah berdiri sambil menoleh ke arahnya dengan pandangan yang amat tajam.
“Kau diam, bodoh! Jangan ganggu aku! Hentikan apa yang kau baca tu! Aku panas! Panas! Kau jangan campur urusan aku, perempuan!” Fasihah menjerit lalu mencekik leher Syahirah dengan tangan kirinya. Suara bertukar menjadi garau.
Rakan-rakan sepejabat terkejut melihat apa yang berlaku. Mereka berkejar membantu melepaskan Syahirah manakala beberapa orang lagi diarahkan memanggil seorang ustaz untuk merukyahkan Fasihah yang sedang kerasukan. Fasihah memandang ke arah kawan-kawannya dan ketawa mengilai.
Sementara seorang membacakan ayat-ayat suci al-Quran, beberapa rakan-rakan lain tidak henti-henti melaungkan azan. Fasihah menjerit kepanasan. Dia duduk dan menghayun-hayunkan kepalanya yang ditundukkan ke lantai. Badannya ikut bergerak ke kiri dan kanan mengikut ayunan kepala.
Beberapa minit berlalu…
“Assalamualaikum. Siapa kamu? Apa yang kamu mahu daripada budak ni sehingga kamu duduki badannya?” ustaz yang baru sampai, memulakan bicara dengan makhluk yang merasuki tubuh Fasihah.
Fasihah berhenti menghayunkan badannya ke kiri dan kanan. Dia merenung ke arah Ustaz dan berdiri sambil ketawa mengilai seperti ada perkara yang lucu.
“Hihihihi… Kau siapa nak ikut campur urusan aku, hah?” dia menjerit. “Aku cuma nak minta tolong daripada budak perempuan ni. Aku sakit, aku terseksa. Aku dirogol dan dibunuh di laluan itu. Aku nak cari lelaki yang buat aku jadi macam ni, salah ke?” tiba-tiba Fasihah berkata dengan suara yang sayu.
“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, keluarlah kamu daripada tubuh budak perempuan ni. Kamu dah lama meninggal, jasad kamu dah lama dikebumikan dengan cara yang baik. Keluarlah dan kembali ke tempat asalmu, budak ini tidak bersalah. Kamu jangan menyakiti dia sedangkan dendam kamu adalah kepada orang lain, ”ustaz cuba memujuk makhluk itu lagi.
“Aku tak akan pergi! Aku suka budak ni. Dia selalu jalan di laluan tempat aku dirogol dan dibunuh pada malam hari. Kenapa aku kena pergi, hah?” Makhluk itu tetap berdegil.
Tanpa banyak bicara, ustaz itu mengarahkan agar tangan serta kaki Fasihah dipegang. Setelah dua jam dirukyah, akhirnya makhluk yang menduduki tubuh Fasihah berjaya dikeluarkan.
Syahirah mendekati Fasihah yang terbaring di lantai dengan darah tidak henti-henti mengalir daripada hidung dan mulutnya. Dia memeluk Fasihah dengan air mata berjuraian di pipi.
Persoalan tentang siapa wanita berambut panjang di laluan sunyi sudah pun terjawab. Fasihah meletak jawatan tidak lama selepas kejadian itu. Dia tidak mahu diganggu lagi.
Tapi bagaimana dengan dendam jelmaan wanita yang mati dibunuh dan dirogol itu? Masihkah ia mundar-mandir di situ lagi? Kalau anda berani, cubalah berjalan seorang diri pada waktu dinihari di laluan sunyi berhampiran Terminal Satu Lapangan Terbang Changi.
(Anisah, Bedok North Road, Singapura.)










