PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan menafikan memberi kelulusan kos tajaan lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan beberapa pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki.
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, lawatan itu sebaliknya mendapat dana daripada syarikat nombor ramalan dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia.
“Ini tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Ia diluluskan oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia.
“Sumber kewangan datang daripada sebuah syarikat ramalan nombor. Ia (lawatan) tidak dapat satu sen daripada Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Berdaftar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kos lawatan yang kononnya ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan.
Kosmo! Online semalam melaporkan Kementerian Dalam Negeri meluluskan lawatan kerja Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah perjudian online.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata demikian bagi menafikan dakwaan portal Sarawak Report bahawa lawatan tersebut adalah tanda terima kasih terhadap jasa-jasa pegawai tinggi polis yang menyertainya.
Portal Sarawak Report sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pegawai tinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki atas tujuan peribadi. – K! ONLINE










