KUALA TERENGGANU 12 Feb. – Muhammad Khairul Haziq, anak sulung kepada pasangan Mohd. Khairulinzam Jusoh, 38, dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, yang maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap dekat Batu Rakit, Sabtu lalu masih tidak mengetahui ibu bapa dan adik bongsunya, Nur Khaira Aisyah, lapan bulan, telah meninggal dunia.
Ibu saudaranya, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata, mereka sekeluarga terpaksa merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan Muhammad Khairul Haziq sehingga keadaan kanak-kanak berusia lima tahun itu lebih stabil.
Menurutnya, kanak-kanak itu dijadualkan menjalani pembedahan rahang gigi dan kaki kirinya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini namun, prosedur itu ditangguhkan pada sebelah petang.
“Semasa hari pertama di hospital, sokmo (selalu) dia panggil papa, ibu dan adiknya. Dia tak pernah berpisah dengan ayahnya.
“Memang kita nampak dia macam sihat tetapi jiwanya kita tak tahu. Apabila ramai ahli keluarga datang melawat, saya nampak mata dia macam mencari-cari ibu bapanya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu diwakili Pengarahnya, Nora Yaacob menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada ibu Mohd. Khairulinzam, Wook Awang, 68, di kediamannya di Kampung Paloh Tuan Sulong.
Nora berkata, Muhammad Khairul Haziq juga akan dijadikan anak angkat Perkeso Terengganu bagi memudahkan pihaknya memantau dan memastikan setiap caruman dan pencen yang akan dibayar kepadanya.
Kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi Sabtu lalu itu turut mengorbankan nenek dan bapa saudara Muhammad Khairul Haziq iaitu Rozilawati Mustafa@Razali, 43, dan Muhammad Nashrullah Salleh, 5.










