Kemalangan: Pemandu maut, 12 penumpang cedera - Utusan Malaysia

Kemalangan: Pemandu maut, 12 penumpang cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Seramai 12 penumpang cedera manakala pemandunya maut selepas bas yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki di Kilometer 409.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.43 pagi itu, pemandu tersebut didapati meninggal dunia selepas tersepit di bahagian pemandu.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan pemandu bas berusia 43 tahun maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori tangki yang membawa muatan susu getah tidak cedera.

“Seorang pemumpang cedera parah dan 11 orang lagi cedera ringan manakala 18 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Komanden Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, PPgB Kamil Hamadan berkata, pemandu bas dikenal pasti bernama Muhammad Azhar Abdul Razak.

“Seramai enam penumpang bas yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan enam orang lagi di bawa ke Hospital Slim River,” ujarnya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN