KOTA BHARU 10 Feb. – Tiga pemain berstatus ‘bintang’ menjadi buruan terbaharu Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd dalam usaha memperkuatkan lagi barisan The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd., Fazli Mohammad berkata, buat masa ini pihaknya terpaksa berteka-teki mengenai posisi pemain bintang yang akan dibawa masuk.
“Setakat ini kita dalam peringkat perundingan untuk membawa masuk pemain berkenaan bagi memperkasakan lagi TRW.
“Kesemua pemain ini kita akan bawa masuk sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain di tutup pada 20 Febuari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Fazli memberitahu, kemasukkan pemain bintang itu dijangka memberikan lebih kekuatan dalam menarik semula ‘pemain ke-12’ ke stadium.
Difahamkan, salah seorang pemain bintang yang dikaitkan untuk menyertai TRW ialah penyerang Perlis, Safee Sali.
Kehadiran bekas tonggak kebangsaan itu makin bertiup kencang selepas tular gambar perbincangan antara dia dan Fazli di Kuala Lumpur baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










