KUALA LUMPUR 10 Feb. – JIKA kelab luar seperti Fagiano Okayama boleh melepaskan Hadi Fayyadh Abdul Razak mengapa pasukan tempatan sukar melepaskan pemain mereka bagi menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.
Mungkin itu antara yang bermain di fikiran pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang pening kepala menjelang Kejohanan AFF B-22 selepas lima daripada 26 pemain yang dipanggil tidak dilepaskan pasukan masing-masing.
Kejohanan di Kemboja itu akan bermula pada 17 Februari ini, namun Kim Swee kini hanya memiliki dua pemain untuk mengisi posisi tengah.
Menurut Kim Swee, situasi tersebut menyebabkan beliau berdepan masalah untuk memiliki barisan terkuat kerana hanya ada Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman, yang kedua-duanya adalah tonggak Kelantan.
Tiga lagi pemain tengah Faisal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) Serta Fadzrul Daniel Nizam (Kedah) tidak dilepaskan pasukan mereka.
Dua lagi pemain yang turut gagal mendapat pelepasan adalah dari Felda United iaitu Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Zahril Azri.
“Agak merunsingkan saya ketika ini adalah bahagian tengah kerana kami hanya ada dua pemain iaitu Nik Akif dan Danial.
“Saya akan memanggil beberapa lagi pemain lain untuk mengisi kekosongan itu selain posisi lain agar kami dapat kepelbagaian di setiap posisi,” katanya selepas latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.
Sementara itu, penyerang muda negara, Hadi Fayyadh memberitahu, kelabnya di Jepun sangat berbesar hati untuk memberi kebenaran kepadanya menggalas cabaran pasukan kebangsaan.
“Pasukan bangga apabila saya dipanggil dan mereka berikan sokongan penuh.
“Bagi pemain di sana, tidak semua berpeluang untuk bersama pasukan kebangsaan,” katanya.









