Karya doktor pelatih warnai HSKU - Utusan Malaysia

Karya doktor pelatih warnai HSKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pengalaman dan fobia seorang doktor pelatih yang pertama kali memotong kaki pesakitnya sehingga mencetuskan konflik perasaan antara kewajiban profesionalisme dan rasa simpati sesama manusia yang digarap dalam bentuk cerpen adalah antara karya yang bersaing untuk memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saeed Zubeir Zahari, 28, menghasilkan cerpen bertajuk Kaki Hantu berdasarkan pengalamannya sebagai seorang doktor pelatih di Hospital Kemaman, Terengganu turut mengolah terminologi perubatan berserta jenis ubat-ubatan, istilah rawatan, peralatan pembedahan serta risiko serta membangunkan sahsiah doktor perubatan dalam cerpennya itu.

Cerpen `Memberikan Telinga’ karya Saifullizan Yahaya pula menampil watak lelaki tuli pembersih bangunan Trisno berhadapan dengan detik seorang perempuan mahu membunuh diri dari tingkat 31 sebuah bangunan. 

Walaupun dilahirkan cacat pendengaran, Trisno berupaya mendengar segala rintihan perempuan yang mahu menamatkan hayat sendiri menerusi isyarat gerak bibir.

Zainal Rashid Ahmad menerusi ‘Paduka Raja & Kota Yamani’ pula memilih isu intriq politik antarabangsa di Syria sebagai tema penulisan cerpennya. Beliau menggunakan pengalaman luas sebagai wartawan yang membuat liputan di negara berkonflik untuk menceritakan bagaimana perbezaan fahaman, sengketa ekonomi dan siasah membawa kepada pertelingkahan sehingga membinasakan ummah, menimbulkan kesengsaraan dan menjadi mala petaka kepada persaudaraan sejagat.

Tiga naskhah ini adalah antara 65 buah cerpen yang diterima untuk penilaian juri yang mana daripada jumlah tersebut sebanyak 22 disenarai pendek sebelum 10 dipilih untuk menerima hadiah utama dan penghargaan.

Cerpen-cerpen tersebut ialah Bertanya Seorang Haral karya Siti Jasmina Ibrahim, Kuroshio (Hafizah Iszahanid), Hari yang Bergelar Kematian (Juri Durabi), Neraca Akal (Maznida Mahadi), Lelaki dari Negeri Pelangi dan Titis-titis Hujan di Rakhine (Azman Ismail), Memberikan Telinga (Saifullizan Yahya), Paduka Raja & Kota Yamani (Zainal Rashid Ahmad), Pak Hussin, Bas Buruk, Calon YB dan Saya (MK Riza) dan Kaki Hantu (Saza S).

Naskhah yang dipilih sebagai pemenang ini membawa kepelbagaian tema seperti isu-isu semasa sama ada yang berlaku di tanah air atau di peringkat antarabangsa, seni warisan, budaya, isu-isu sosial, ragam politik dan ehwal pelakunya.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-33 akan berlangsung di Dewan Besar Utusan di sini dan majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu kategori Cerpen Media Baharu, Cerpen Remaja, Cerpen Umum, Puisi, Rencana dan Novel Remaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN