Kami faham, ini semua janji Allah - Ayah - Utusan Malaysia

Kami faham, ini semua janji Allah – Ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Feb. – Ahli keluarga kepada Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd., pemancing yang lemas ketika menyelamatkan lima sekeluarga dalam kenderaan yang terjunam di Sungai Terengganu menerima dengan tenang berita pemergian anaknya.  

Bapa mangsa, Mohd. Mustafa, 66, berkata, soal ajal merupakan janji yang telah ditetapkan Allah dan mereka reda dengan setiap ketentuan  yang menimpa Abdul Bari Asyraf, 31. 

“Sebagai ayah, saya sedih tapi masih boleh tahan perasaan, dapat jumpa mayat pun kami puas hati dah. 

“Kita tidak ada masalah (untuk menerima) sebab kita faham dah tentang janji Allah daripada azali sudah ditetapkan dah,” katanya kepada pemberita di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 

Mayat Abdul Bari Asyraf ditemukan pada pukul 7.24 pagi ini di sekitar muka kuala tanjung oleh pihak bomba dan orang awam. 

Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer daripada tempat dia dilaporkan lemas. 

Sementara itu, ibunya, Masitah Awang lega doanya yang tidak putus-putus sejak kelmarin agar anaknya ditemukan akhirnya dimakbulkan pagi ini. 

“Memang hajat kita nak jumpa, walau dia dah tak ada tapi saya lega, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN