PURBALINGGA 13 Feb. – “Menjelang pilihan raya umum (Pemilu) 2019 ini ada pihak-pihak yang memberi wang atau memberi macam-macam, sebaiknya diterima sahaja.”
Demikian dinyatakan oleh calon Presiden, Prabowo Subianto ketika menyampaikan ucapan politik di depan penyokongnya di Desa Slinga, dekat sini hari ini.
Beliau menjelaskan, wang atau ‘macam-macam’ yang diberikan itu merupakan wang rakyat sendiri.
“Kalau ada yang beri wang atau macam-macam, terima saja, jangan ditolak. Itu wang rakyat Indonesia,” katanya seperti dipetik Republika.
Untuk itu beliau menegaskan, masyarakat tidak perlu rasa terhutang budi kepada pihak-pihak yang telah memberikan wang tersebut.
“Jadi terima saja bila ada yang memberi wang atau sesuatu. Tapi saat berada di bilik pengundian, gunakan hak sesuai hati nurani. Bukan seperti yang dipesankan oleh pemberi wang,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, Prabowo juga mengaku saat ini sudah berusia 68 tahun dan dengan usia tergolong tua, beliau mengaku mesti sudah ‘pencen’ atau berehat.
Namun melihat keadaan bangsa dan negara ketika ini, beliau mengaku tidak rela kerana rakyat belum mendapat keadilan dan kemakmuran.
“Kita juga lihat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah berusia 93 tahun, sudah seharusnya bersara. Namun melihat keadaan negaranya, beliau turun lagi (terus bekerja),” katanya.
Prabowo mengaku, setiap kali ke daerah dan bertemu dengan penduduk kampung, semangatnya selalu muncul kembali.










