Kaki judi terkedu diserbu polis - Utusan Malaysia

Kaki judi terkedu diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Sekumpulan 16 kaki judi termasuk penganjur yang leka bermain judi bola golek terkedu selepas polis menyerbu tempat perjudian mereka di di dua buah lokasi di Pulau Indah di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 9 malam itu, lokasi terlibat ialah di kaki lima deretan rumah kedai di Jalan Perigi Nenas dan kawasan perumahan Sri Bahtera, Jalan Sungai Chandong 9.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 50 tahun termasuk tujuh penganjur kegiatan haram tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan itu dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Taman Perindustrian Pulau Indah, pihaknya berjaya menahan empat lelaki disyaki pekerja dan penganjur kegiatan judi bola golek tersebut.

“Selain itu, kita turut merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan haram tersebut seperti  sehelai tikar, papan bola golek, tiga bola getah, alat penimbang air, bedak, lampu dan wang tunai RM683.

“Serbuan kedua pula berjaya menahan sembilan orang kaki judi bersama tiga orang penganjur. Kita turut merampas beberapa peralatan judi bola golek dan wang tunai berjumlah RM1,371,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar menegaskan, siasatan lanjut mendapati kegiatan judi bola golek itu telah aktif sejak dua bulan lalu dan beroperasi dari pukul 8 malam sehingga 11 malam menyasarkan kaki judi warga tempatan dan asing.

Jelas beliau, kesemua suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN