BANGKOK 8 Feb. – Pilihan raya umum (PRU) Thailand khususnya saingan merebut jawatan Perdana Menteri pada 24 Mac ini bertambah menarik apabila Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Varnavadi diisytiharkan sebagai calon utama bagi Parti Thai Raksa Chart.
Puteri Ubolratana, 67, merupakan kakak kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.
Parti Thai Raksa Chart merupakan parti yang setia kepada Thaksin Shinawatra, bekas Perdana Menteri yang digulingkan pada 2006.
Kedudukan Puteri Ubolrata disahkan melalui kertas pendaftaran yang disiarkan hari ini, sekali gus memecah tradisi lama keluarga diraja Thailand apabila menyertai proses pilihan raya yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pilihan raya pada Mac ini dilihat sebagai pertempuran antara populis dan sekutu Thaksin dan junta tentera.
“Lembaga Pengarah parti bersetuju untuk menamakan Puteri Ubolratana, seorang yang berpendidikan dan berkemahiran, sebagai calon, pilihan yang paling sesuai,” jelas pemimpin Thai Raksa Chart, Preechapol Pongpanich.
Puteri Ubolratana melepaskan gelaran dirajanya selepas berkahwin dengan warga Amerika Syarikat (AS).
Namun pasangan itu telah bercerai dan Puteri Ubolratana kembali ke Thailand dan masih dianggap sebahagian daripada keluarga diraja.
Dalam perkembangan sama, ketua junta tentera Thailand, Prayut Chan-o-Cha turut mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Perdana Menteri dalam pilihan raya nanti.
Pengumuman itu dilihat sebagai usaha mengekalkan pengaruh tentera dalam politik negara, kira-kira empat tahun selepas rampasan kuasa oleh junta. – REUTERS/AFP










