Kadar inflasi akan pulih - Utusan Malaysia

Kadar inflasi akan pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Deflasi yang dialami Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan pertumbuhan inflasi diunjur sederhana antara 1.5 peratus hingga dua peratus pada 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak berubah pada 3.25 peratus sepanjang tahun ini.

Menurut nota kajian Affin Hwang Capital, kos pengangkutan yang rendah ketika ini dijangka sederhana dengan trend harga RON95 yang semakin meningkat.

“Kami percaya kadar inflasi akan kembali pulih bermula Mac 2019. Harga apungan mingguan untuk RON95 bagi tempoh 16 hingga 22 Februari berada pada RM1.98 seliter lebih rendah berbanding RM2.26 seliter pada bulan sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, harga makanan menunjukkan peningkatan sedikit pada Februari disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina. Memasuki 2019, ekonomi dijangka berkembang sihat dengan permintaan domestik yang stabil membantu mengurangkan risiko deflasi pada masa depan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, penurunan indeks harga pengguna (IHP) Januari bukan disebabkan kelemahan permintaan atau pertumbuhan ekonomi sebaliknya didorong oleh faktor bekalan dalam bentuk harga input yang lebih murah iaitu pengurangan harga minyak petrol dan mi­nyak lain.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Berhad berkata, selain harga minyak, faktor nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kesan asas yang tinggi turut memberi tekanan terhadap indeks harga secara keseluruhan.

“Bagaimanapun, deflasi yang berlaku sebahagian besarnya disebabkan oleh pelarasan dalam mekanisme harga berbanding kelemahan dalam permintaan dan kenaikan harga purata minyak mentah Brent daripada AS$56.50 (RM229.93) setong pada Disember kepada AS$59.40 (RM241.73) setong pada Januari. Oleh itu, trend ­inflasi ini akan beransur normal,” katanya.

Mengenai pengekalan OPR oleh BNM, RHB Research Institute berkata, terdapat beberapa ruang untuk dasar yang lebih longgar di tengah-tengah inflasi yang lemah serta persekitaran pertumbuhan yang perlahan.

“Kadar faedah pada tahap ini kekal akomodatif dan berupaya membantu aliran keluar modal di samping mengekalkan ke­stabilan ringgit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN