LOS ANGELES 13 Feb. – Penyanyi Justin Bieber sedang diberikan rawatan kerana kemurungan ketika penyanyi bermasalah itu didakwa bergelut dengan masalah kesihatan.
Bagaimanpun kemurungan itu sebagaimana lapor News.com.au tidak ada kaitan dengan perkahwinannya dengan model, Hailey Baldwin dan penyanyi berusia 24 tahun terbabit dipercayai keletihan.
“Masalah ini tidak ada kena mengena dengan Baldwin, Justin sangat gembira mendirikan rumah tangga dengan dia. Kemurungan ini adalah disebabkan faktor-faktor luaran,” kata seorang sumber kepada People.
Sumber itu juga menjelaskan, sejak menjalani rawatan, Justin kelihatan lebih yakin dan bersemangat.
“Dia mungkin tertekan kerana menjadi buruan lensa kamera dan diikuti ramai peminat di mana-mana sahaja sehingga merasakan setiap gerak-gerinya diperhatikan. Barangkali dia beranggapan semua orang mahu mendekatinya,” katanya.
Justin dan Baldwin mengejutkan peminat apabila melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah lokasi rahsia di Amerika Syarikat, September tahun lalu.
Minggu lalu, pasangan itu sebagaimana lapor US Vogue membuat pendedahan mengenai hubungan intim mereka dan menyifatkan perkahwinan sebagai ‘kerja kuat’.
Hailey turut memberitahu, selepas berkahwin, dia terpaksa menyendiri untuk beberapa minggu ekoran dikecam netizen dalam laman sosial. – AGENSI











