KUALA LUMPUR 18 Feb. – Beli penthouse bernilai RM2.9 juta di Jalan Ceylon di sini bagi mengaburi pihak berkuasa bahawa premis berkenaan digunakan sebagai pusat panggilan judi dalam talian.
Itu modus operandi seorang lelaki warga China yang turut mengupah 34 ‘rakan’ senegaranya bagi menjalankan kegiatan perjudian yang dipromosikan melalui aplikasi WeChat bagi rakyat China.
Bagaimanapun, kegiatannya berjaya dihidu sepasukan polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Dang Wangi menerusi serbuan kira-kira 9 malam di penthouse berkenaan, Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah menahan 34 pekerja warga China berusia 21 hingga 46 tahun.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini dalam usaha mengenal pasti pemilik kediaman berkenaan dipercayai dalang sindiket.
“Pemeriksaan mendapati sindiket itu telah bergerak aktif sejak empat bulan lalu dan pendapatan bulanan berjumlah RM2.16 juta.
“Kita turut merampas 20 buah komputer, 16 komputer riba, 54 telefon bimbit pelbagai jenama, satu modem, sebatang kunci dan sekeping kad akses dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.









