PULAU PINANG 28 Feb. – Dua lelaki berusia 29 dan 45 tahun ditahan bersama dua buah lori tangki minyak selepas dipercayai menjual diesel bersubsidi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri di sebuah stor tidak berlesen di Juru, di sini awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah PPDNHEP negeri, Sapiah Mohd. Nor berkata, ketika serbuan lori tangki itu sedang memindahkan bahan api tersebut ke sebuah tangki skid (skid tank) dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.
Menurutnya, diesel bersubsidi tersebut sepatutnya dibawa ke sebuah jeti nelayan namun dilencongkan ke stor berkenaan.
“Serbuan ini dibuat hasil risikan sejak beberapa minggu lalu dan kita percaya kegiatan ini didalangi satu sindiket kerana melibatkan beberapa pihak.
“Terdapat tiga skid tank di stor ini yang digunakan untuk memindahkan diesel yang dibawa dari depo sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga industri sekali gus memberi keuntungan kepada sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Jelasnya, sebuah lori tangki berkenaan mampu membawa 19,110 liter diesel untuk sekali perjalanan.
Katanya, secara keseluruhan sejumlah 45,000 liter diesel dirampas dalam operasi itu dengan nilai dianggarkan sebanyak RM180,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“Jika sabit kesalahan, bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.
“Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










