PUTRAJAYA 28 Feb. – Kerajaan negeri Johor memohon peruntukan sebanyak RM5.2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, peruntukan itu bagi melaksanakan 160 projek yang menjadi keutamaan negeri melibatkan 19 kementerian.
“Besarlah harapan kami agar kepimpinan Kerajaan Persekutuan dapat melihat apa yang dilakukan oleh kami di negeri Johor ini dan membantu menyediakan dana pembangunan infrastruktur.
” Ini secara tidak langsung akan memacu pembangunan ekonomi Johor yang terkenal dengan jolokan ‘Harimau Selatan’ untuk menjadi kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara sekali gus menguntungkan Malaysia secara keseluruhan,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sesi pemukiman kerajaan Negeri Johor bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Persekutuan di sebuah hotel di sini.
Menurut Osman, dalam konteks negara, Johor dikenal pasti sebagai salah sebuah negeri yang diiktiraf termaju dengan prestasi ekonomi yang teguh dan stabil.
“Secara purata, negeri Johor menyumbang sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Johor terus rancak, kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Johor yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ahli-ahli jawatankuasanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Johor sebenarnya berupaya untuk menyumbang kepada limpahan ekonomi secara berterusan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sesi pemukiman itu merupakan medium perkongsian idea bagi meneroka potensi pembangunan Negeri Johor antara barisan kepimpinan negeri Johor bersama menteri di peringkat Persekutuan terutama berkaitan penyelarasan dasar dan pengagihan sumber antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada masa akan datang.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah pengukuhan bagi memastikan agenda dan strategi yang dirangka kerajaan negeri Johor dapat dilaksanakan dengan lancar. – UTUSAN ONLINE










