ISKANDAR PUTERI 20 Feb. – Johor merekodkan sebanyak 1,492 kes denggi, ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh tujuh minggu, sejak awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr. Sahruddin Jamal berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 94 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 776 kes.
“Untuk tahun ini, sebanyak empat kes kematian direkodkan iaitu tiga di Johor Bahru iaitu Taman Kota Masai, Cahaya Masai dan Taman Sri Muhibbah merupakan tiga lokasi kes denggi tertinggi di daerah itu dan satu lagi di Batu Pahat.
“Pelbagai kaeadah sedia ada dan yang baharu akan kita ambil termasuk dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat dalam usaha mengurangkan kes denggi,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Tambahnya, pihaknya juga membuat promosi kempen pencegahan nyamuk aedes menerusi pihak media termasuk Jabatan Penerangan.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan penglibatan penduduk di kawasan kediaman supaya turut serta dalam program gotong-royong yang dianjurkan. – UTUSAN ONLINE










