Jenazah tiga beradik selamat dikebumi - Utusan Malaysia

Jenazah tiga beradik selamat dikebumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH – Gadis yang terkorban bersama dua adiknya dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tanah Merah – Pasir Mas di Bukit Tuku, Pasir Mas, tengah hari semalam, dijangka mendirikan rumah tangga selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ibu mangsa, Zubaidah Shafie, 49, berkata anak sulung daripada enam beradik, Nurfatin Arina Mohd Asri, 23, telah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan dengan pasangannya yang berasal dari Pasir Puteh.

“Majlis perkahwinan Nurfatin Arina dijangka diadakan pada hari raya ketiga, mungkin tiada rezeki bagi keluarga ini untuk menerima menantu sulung.

“Arwah telah membeli baju pengantin untuk hari persandingannya selain sebahagian barangan persiapan majlis perkahwinan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Gading di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Nurfatin Arina dan dua adiknya, Haifa Amira, 22, dan Anis Saraya, 10, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ketiga-tiga mangsa terbunuh dalam kemalangan itu selepas kenderaan mereka naiki bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.

Tiga beradik itu dikatakan dalam perjalanan ke Pasir Mas untuk menjemput ibu saudaranya yang tinggal di sana sebelum ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mengambil ubat.

Zubaidah berkata, lebih menyedihkan apabila Nurfatin Arina sempat membelanjakan sebahagian daripada gaji pertamanya untuk anggota keluarga selepas sebulan bekerja di sebuah bank di Pasir Mas.

“Arwah pernah berkata ini gaji terakhir yang boleh dia bagi kepada saya, ketika itu saya tak kata apa-apa, mungkin arwah mahu simpan buat majlis perkahwinan,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN