JOHOR BAHRU 3 Feb. – Bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baru Cina, Johor Corporation (JCorp) mengambil inisiatif bertemu dan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung berketurunan Tiong Hua di Larkin Sentral.
Program santai kira-kira dua jam anjuran JCorp itu disertai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Yang turut hadir, Pengerusi Mutiara JCorp, Datin Noor Laila Yahaya serta pegawai dan pihak pengurusan Larkin Sentral.
Kamaruzzaman berkata, selain beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di situ, JCorp turut menyampaikan buah tangan termasuk buah limau kepada peniaga dan pengguna di situ.
“Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kedatangan sesuatu perayaan amat dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja disambut oleh kaum berkenaan, malah oleh kaum lain juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











