KOTA BHARU 27 Feb.- Orang ramai di negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak berlakunya kes kebakaran yang lebih besar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nazili Mahmood berkata, dengan keadaan cuaca kemarau sekarang, tindakan itu menyumbang kepada kebakaran lebih besar kerana api merebak dengan lebih cepat.
“Kita telah membuat rondaan di beberapa kawasan dan kita lihat banyak kerja-kerja pembersihan hutan dilakukan waktu ini.
“Jadi, kita mohon kerjasama masyarakat supaya tidak membuat pembakaran terbuka kerana ia juga akan menyebabkan jerebu sekali gus menjejaskan kesihatan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM negeri, Anwar Abu Bakar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Fakaruddin Berahim.
Dalam pada itu, Nazili berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima dua kes melibatkan kebakaran terbuka.
“Kes pertama yang diterima minggu lalu melibatkan kawasan tanah gambut seluas 29 hektar di Bachok. Anggota kita mengambil masa selama seminggu untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Manakala satu lagi kes di kawasan pelupusan sampah yang dilaporkan berlaku di Pasir Mas semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











