KUANTAN – Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak menggunakan telefon bimbit serta memandu mengikut had laju ditetapkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuantan, Asisten Superintendan Ahmad Ridha Hariri berkata, kedua-dua kesalahan tersebut merekodkan jumlah saman tertinggi di daerah ini sejak enam hari lalu.
Menurut beliau, sebanyak 627 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya melibatkan kedua-dua kesalahan tersebut sejak Ops Selamat 14 dilancarkan pada 30 Januari baru-baru ini.
“Jumlah tersebut bagaimanapun menurun sebanyak 611 saman pada tempoh enam hari Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina tahun lalu yang merekodkan 2,056 saman dikeluarkan,” ujar beliau.
Ahmad Ridha berkata demikian kepada pemberita ketika mengedarkan risalah keselamatan jalan raya kepada pemandu sempena Ops Selamat 14 di Plaza Tol Gambang di sini hari ini.
Pengedaran risalah di plaza tol tersebut turut melibatkan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.
Tambah beliau, pihaknya turut merekodkan 118 kemalangan jalan raya di daerah ini sejak 30 Januari lalu yang menyaksikan penurunan 36 kes bagi tempoh enam hari pelaksanaan Ops Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Ujar beliau lagi, tiada kemalangan maut direkodkan pada sepanjang tempoh sama tahun ini berbanding empat kes yang dicatatkan sepanjang enam hari sebelum Tahun Baru Cina pada tahun lalu.
“Pemandu diingatkan supaya berhati-hati ketika memandu di kawasan kerap berlaku kemalangan di daerah ini terutama Kilometer 36 hingga Kilometer 48 Jalan Kuantan.
“Selain itu, Kilometer 14 hingga Kilometer 20 Jalan Kuantan serta Kilometer 35 hingga Kilometer 35 Jalan Kuantan-Kemaman dan Kilometer 23 Jalan Gambang,” tambahnya. – K! ONLINE









