PUTRAJAYA – Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bermula dari Kompleks Sogo hingga Jalan Melayu di ibu negara akan dijadikan sebagai laluan pejalan kaki atau pedestrian mall mulai 15 Mac depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, laluan sepanjang kira-kira 800 meter ke satu kilometer itu akan ditutup kepada semua jenis kenderaan kecuali bas termasuk bas pelancong.
“Kenderaan tidak dibenarkan masuk ke jalan itu cuma bas sahaja dikecualikan selepas mengambil kira radius pusingannya yang besar.
“Langkah ini untuk memudahkan pejalan kaki selain melancarkan pergerakan trafik. Ini mungkin juga akan menggalakkan lebih ramai pekerja di ibu negara untuk menggunakan kenderaan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Luncheon Talk Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Sementara itu, Khalid berkata, dengan penutupan jalan itu, kementerian bercadang untuk meletakkan sebahagian besar gerai-gerai bazar Ramadan di Jalan TAR itu sendiri sekali gus menjadikan kawasan bazar lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini.
“Mungkin kita boleh bahagikan perniagaan basah di belakang manakala perniagaan kering di depan. Ini kita belum muktamadkan lagi.
“Namun paling penting, premis-premis sedia ada di kawasan itu tidak akan terhalang kerana sebelum ini, peniaga kedai mengadu bahawa laluan masuk tertutup berikutan pembukaan khemah bazar ramadan. Jadi mereka tidak akan jadi mangsa keadaan lagi. Saya rasa langkah ini akan melegakan semua pihak,” katanya. – K! ONLINE











