IPOH 10 Feb. – Jabatan Perhutanan Perak menafikan laporan wujudnya ‘elaun pacat’ iaitu wang yang diberikan oleh syarikat pembalak kepada segelintir anggota penguat kuasa sebagai habuan meninjau kawasan berpotensi bagi menjalankan kegiatan pembalakan.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, laporan tersebut tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan dakwaan wujudnya pemberian habuan tersebut.
“Pihak jabatan juga telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM atas aduan yang sama pada Disember 2018 yang lalu yang mana kes tersebut masih lagi dalam tindakan pihak SPRM.
“Pihak Jabatan juga berharap supaya pihak penulis juga boleh memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak jika diminta untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mohamed Zin berkata, pihaknya sentiasa memastikan pihak pelesen mematuhi syarat dan spesifikasi pengusaha hasilan yang ditetapkan.
Menurutnya, pemantauan dan pengawalan ke atas aktiviti pengusaha hasilan dibuat secara bulanan melalui Laporan Pengusaha Hasilan Hutan Bulanan bagi setiap lesen yang
telah diluluskan.
Katanya, selain itu, Jabatan Perhutanan negeri dan semua Pejabat Hutan Daerah menjalankan aktiviti penguat kuasaan secara berkala termasuk rondaan dan sekatan jalan raya termasuk pemeriksaan di kawasan pengusaha hasilan hutan.
“Sebagai membuktikan jabatan ini mematuhi semua peraturan dan spesifikasi yang telah ditetapkan, jabatan ini berjaya mengekalkan Sijil Pengurusan Hutan sejak tahun 2001 sehingga kini.
“Dalam pensijilan ini, jabatan perlu mematuhi beberapa kriteria dan petunjuk yang ditetapkan dan akan dinilai setiap tahun oleh audit bebas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










