PUTRAJAYA 26 Feb. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keprihatinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu pembinaan Universiti Muhammadiyah di negeri berkenaan.
Sehubungan itu menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berhubung perkara tersebut.
Dalam masa sama Maszlee berkata, Educity Pagoh sememangnya dibina untuk menempatkan universiti dari luar negara serta tempatan.
“Kami mengambil maklum mengenai keprihatinan istana dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Tunku Ismail dilaporkan menolak cadangan pembinaan Universiti Muhammadiyah di Pagoh pada masa depan.
Menurut beliau, fahaman itu bercanggah dengan fatwa negeri Johor dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri berkenaan.
Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan kenyataan Maszlee yang menyokong pembinaan kampus Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka) di negara ini.











