KUALA LUMPUR 7 Feb. – Pendedahan mengenai status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang didakwa palsu sebelum diubah kepada nama universiti lain yang tidak diiktiraf oleh badan akreditasi pendidikan amat memalukan negara.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai seorang Timbalan Menteri Luar yang menjadi ‘wajah’ Malaysia di mata dunia, tindakan Marzuki yang didakwa cuba memalsukan status akademiknya mempamerkan tahap integriti seorang pemimpin.
Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak bermaksud seseorang itu harus berkelayakan tinggi jika ingin menjadi ahli politik, namun apa yang berlaku terhadap Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut membuatkan integritinya boleh dipersoalkan.
“Bagaimana seorang pemimpin yang mempertaruhkan moral dan etikanya mampu bertindak selaku perunding utama mewakili Malaysia dalam pelbagai perjanjian antarabangsa akan dihormati oleh negara luar?
“Saya juga kecewa dengan kenyataan beberapa pimpinan tertinggi Bersatu yang mempertahankan dan menganggap tindakan Marzuki tidaklah seburuk mencuri wang rakyat, seolah-olah parti menghalalkan penipuan serta perbuatan memalsukan sijil akademik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isu timbul apabila Marzuki pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England dan kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun ramai pihak mempertikaikan kredibiliti institusi yang disebutkan oleh pemimpin Bersatu itu.
Soal Asyraf Wajdi lagi, apakah ini nilai perjuangan Bersatu yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, moral yang tinggi dan amalan tadbir urus yang baik?
“Pemuda UMNO menggesa agar Marzuki mengambil tanggungjawab moral bagi melepaskan jawatan secara terhormat demi kredibiliti sebuah kepemimpinan.
“Sebagai pemimpin parti yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, beliau harus mengotakan apa yang diperjuangkan oleh parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










