Isu Bazar Ramadan Jalan TAR tidak perlu dipolitikkan - Utusan Malaysia

Isu Bazar Ramadan Jalan TAR tidak perlu dipolitikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


ADALAH sangat tidak adil apabila semua perkara hendak dipolitikkan termasuk isu penutupan Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Isu bazar di lokasi panas itu timbul kembali memandangkan hanya kurang tiga bulan sahaja lagi kita akan menyambut Ramadan.


Dakwaan melibatkan isu penjualan tapak kepada pihak ketiga, kaut untung atas angin dan penglibatan ‘orang dalam’ di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai dalang pengagihan tapak bukan lagi perkara baharu sebaliknya berlaku sejak zaman kerajaan terdahulu lagi.


Namun tiada jalan penyelesaian secara tuntas diambil. Mereka yang terlibat terus terlepas daripada tindakan undang-undang, terus kaya raya dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. 


Minggu ini beberapa dakwaan dan tuduhan liar kembali berlegar terutama di media sosial yang mengatakan penutupan bazar berkenaan membuli dan menindas peniaga Melayu serta menggambarkan ketidak adilan kerajaan ketika ini dan sebagainya.


Hakikatnya sejak dari mula-mula isu bazar perayaan itu dibangkitkan pada Ogos tahun lalu sehinggalah pada sidang media oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dua hari lalu, keputusan DBKL adalah bukan mahu menutup bazar berkenaan sebaliknya memindahkan tapak ke kawasan yang lebih sesuai.


Ironinya, penjelasan Khalid mengenai bazar berkenaan sudah lama jelas, namun masih ada pihak yang terburu–buru mahu mengeluarkan kenyataan berulang berhubung isu tersebut. 


Selepas diteliti, kenyataan pihak terlibat jelas menggambarkan kurangnya kepekaan mereka terhadap sesuatu isu. Dalam perkara tertentu, kita tidak perlu terlalu skeptikal dan membuat tuduhan tanpa meneliti kesahihannya.


Sebaliknya hendaklah mempamerkan tahap kefahaman lebih tinggi dalam sesuatu perkara dan tidak terpengaruh hanya kerana rasa hasad dengki dan kebencian. Ambil sikap cuba untuk memahami dan tidak tersasul dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia hanya menunjukkan kebodohan sendiri.


Diharapkan langkah DBKL menstruktur semula bazar berkenaan untuk dijadikan Pedestrian Mall sebelum peniaga terlibat dipindahkan ke tapak asal dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.


Melihat kepada perancangan yang dibuat, usaha ini bukan sahaja memihak kepada peniaga Melayu tetapi juga kaum India dan Cina kerana bazar berkenaan difahamkan akan dibuka pasa musim perayaan.


Kepada Khalid diharap isu bazar ini dapat diuruskan dengan baik. Perbetulkan apa yang bengkok selama ini dan tidak mengulanginya kerana jika ia berlaku sekali lagi maka tiada apa yang membezakan antara kerajaan dahulu dan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN