NEW DELHI 22 Feb. – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengambil tindakan drastik apabila membatalkan hak India bagi menganjurkan kejohanan Piala Dunia Menembak yang juga medan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 selepas enggan membenarkan Pakistan turut serta.
Kejohanan tersebut sepatutnya dijadual berlangsung esok di Lapang Sasar Menembak Dr. Karni Singh, New Delhi.
India dan Pakistan ketika ini sedang berdepan konflik perang dingin berikutan satu insiden pengeboman berani mati yang berlaku di Kashmir minggu lalu yang mengakibatkan kematian 40 anggota tentera.
Insiden tersebut menyebabkan India enggan mengeluarkan visa kepada atlet Pakistan kerana mendakwa negara jirannya itu terlibat dalam isu pengeboman berkenaan dan keadaan itu menyebabkan IOC campur tangan bagi menyelesaikannya.
“Situasi yang berlaku ini adalah bertentangan dengan Prinsipal Fundamental Olimpik.
“Tiada penyelesaian dapat dicapai biar pun perbincangan bersama Majlis Olimpik India dan persatuan menembak negara itu di saat akhir telah dilakukan termasuk melibatkan kami,” kata IOC dalam satu kenyataan. – AFP










