Integriti dalam pekerjaan - Utusan Malaysia

Integriti dalam pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
DALAM
alam pekerjaan, seseorang itu pastinya akan diuji dengan pelbagai dugaan serta cabaran bagi melihat sejauh mana nilai dan etika semasa melakukan pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.

Antara beberapa masalah sering berlaku dalam kalangan pekerja sama ada sektor awam mahupun swasta ialah ponteng kerja, memalsukan sijil sakit, salah guna harta pejabat dan lain-lain hal yang salah di sisi etika pekerjaan.

Justeru, bagi memastikan perlaksanaan integriti dalam diri setiap manusia tidak kira sama ada pemimpin negara, ahli politik, pegawai atasan mahupun staf bawahan, ia memerlukan kesedaran awal yang mendalam dalam setiap diri masing-masing.

Sudah tentu kesedaran itu timbul daripada kesucian serta ketelusan hati dan jiwa yang berlandas keutuhan akhlak dan budi pekerti sempurna.

Tambahan lagi, selain daripada penguatkuasaan undang-undang kepada si pelaku melalui hukuman-hukuman tertentu, persekitaran tempat kerja juga memain peranan agar penghayatan terhadap integriti dapat dilaksanakan sebaiknya.

Konsep integriti itu menekankan seseorang agar bersikap ikhlas dan jujur dalam melaksanakan sesuatu kerja mahupun tugasan. Selain itu juga, sentiasa bersikap benar dalam setiap aspek agar dapat mendorong diri untuk sentiasa ikhlas dalam melakukan sebarang tindakan.

Namun, kebenaran inilah merupakan satu sifat yang sangat sukar untuk diperlihatkan di kalangan pekerja itu sendiri dalam zaman teknologi kini di mana kebanyakan manusia itu mementingkan harta, pangkat, kedudukan dan kuasa.

Maka, kita perlu sentiasa bersifat benar dalam semua perkara sebagaimana Sayidina Ali bin Abi Talib meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya benar itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keresahan.”

Sesiapa yang sentiasa bercakap benar, pastinya segala kerja yang dilakukan akan berada dalam keadaan yang tenang. Sebagai tanggungjawab sesama manusia, kita hendaklah saling ingat mengingati antara satu sama lain sekiranya ada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan di tempat kerja.

Janganlah kita mementingkan diri sendiri dengan tidak menegur seandainya kita mengetahui rakan kita melakukan kesalahan, begitu juga sebaliknya jika mendapat teguran atas kesilapan yang kita lakukan sewaktu bekerja.

Dengan itu, kita akan sentiasa peka atas setiap perkara dilakukan dalam memastikan integriti dapat dipraktikkan sebaiknya.

Oleh itu, marilah kita bekerja dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti agar rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan Allah SWT.

Imam al-Nawawi ada menyatakan dan menjelaskan bahawa seseorang itu jika sering melakukan amal sama ada baik ataupun buruk, pasti ia akan dilihat oleh orang ramai walaupun cuba menyembunyikannya. Ini adalah kerana individu itu akan dilabel berdasarkan perlakuan dilakukannya.

Sehubungan dengan itu,kita haruslah ingat bahawa setiap perlakuan kita itu sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT setiap saat dan setiap waktu. Bekerja sebaiknya dan pastikan kita berintegriti dalam setiap langkah dan gerak geri kita.

Dalam pada itu, bersama-sama kita memastikan setiap daripada kita mempunyai akhlak yang baik bagi melahirkan individu yang ikhlas dan amanah.

Ini kerana, apabila sifat mulia itu mampu dimiliki setiap manusia sama ada dalam pekerjaan atau ehidupan seharian, sudah pasti ia akan melahirkan masyarakat dan negara maju ke hadapan.

RAFIUDDIN MOHD YUSOF

Pegawai Hal Ehwal Islam, 
UiTM, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN