KUALA LUMPUR 13 Feb. – Penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bukan sahaja menjadi medan memperkasakan bahasa Melayu malah menzahirkan inspirasi kepada golongan muda dalam penulisan kritikan sastera.
Pemenang bagi kategori cerpen tahun lalu, Ahmad Muziru Idham Adnan, 27, berkata, HSKU telah membawanya ke arah penulisan genre berkenaan sekali gus berhasrat memperhebatkan lagi bidang kesusasteraan.
“Selepas beberapa kali memenangi kategori berkenaan dalam HSKU, saya terarah kepada penulisan kritikan sastera kerana mahu memberi tumpuan untuk memperkasa bidang ini pada zaman moden.
“Pada saya, masa depan bidang sastera akan malap sekiranya kurangnya usaha perjuangan dalam penulisan sastera sama ada dalam bentuk kritikan dan teks penulisan,” katanya di sini hari ini.
HSKU kini berusia lebih tiga dekad dan tahun ini, majlis penyampaian hadiah akan diadakan di Panggung Anniversari, Tasik Perdana disini pada 27 Februari bermula pukul 3 petang yang dibuka kepada orang ramai.
Sementara itu, seorang lagi pemenang bagi kategori sama, Muhammad Musoddiq Jaffar, 30, memberitahu, hasil kemenangannya menerusi cerpen bertajuk Silikon dan Besi pada 2014 lalu telah membangkitkan semangat untuk menterjemahkan kisah berkenaan dalam sebuah novel.
“Usaha ini giat diteruskan dan kemajuan hasil penulisan buku ini mencapai 60 peratus dan dijangka akan siap dalam jangka masa tertentu,” katanya.










